MuLaKaN hIdUPmU dENGAN.....


Tuesday, February 22, 2011

Masih Mahu Beralasan ???????

Berkemungkinan jalan yang sedang kita lalui agak samar-samar dan tidak jelas ke mana hala tujunya. Kadang-kadang juga tujuannya jelas tetapi lorongnya masih kabur. Namun, kesungguhan kita dalam mencari jalan terbaik untuk ditelusuri bakal mengundang hidayah dan petunjuk daripada Allah. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-’Ankabuut Ayat 69:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."


Selalunya bukan tidak ada jalan, tetapi kita yang tidak mahu mencari jalan, cepat berputus asa dan lebih memilih untuk tidak meneruskan kesungguhan dan keazaman.

“Pasti ada jalan terbaik”

Kita perlu optimis dengan sentiasa meletakkan pergantungan hanya kepada Allah dalam mencari jalan dan memecah segala kebuntuan. Dan tidak mustahil sesuatu yang luar biasa bisa dicapai. Tatkala manusia ramai mengatakan tidak ada jalan, dia akhirnya menemui yang tidak disangka-sangka.

Orang yang berputus asa adalah orang-orang yang tidak yakin akan kehebatan dan kekuasaan Allah dalam menyinari jalan-jalan yang bakal kita lalui. Orang yang hidupnya penuh beralasan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan telah menafikan segala bentuk petunjuk daripada menerangi laluan, lantas hasilnya adalah menemui jalan buntu. Mungkin kita termasuk dalam kalangan orang-orang ini. Jangan sesekali berputus asa.

"dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." Surah Yusuf : ayat 87


Kehidupan ini sentiasa menuntut kita membuat keputusan. Keputusan kita menentukan jalan mana yang akan dilalui. Jika kita memilih menjadi seorang Mukmin, maka jalan-Nya harus selari dengan tuntutan terhadap seorang Mukmin. Sekalipun kita buntu membuat pilihan terbaik, jangan pernah berputus asa untuk menonjolkan kesungguhan dan keazaman yang tinggi.

Pernahkah Rasulullah memberikan alasan bahawa kemungkaran terlalu meluas dan tidak sesuai untuk sebarkan dakwah semasa baginda diutus menjadi rasul? Atau baginda memberikan alasan bahawa baginda seorang yang ummi, tidak pandai menulis dan membaca? Pastinya tidak. Jalan yang dilalui oleh baginda jauh lebih hebat cabarannya berbanding apa yang sedang kita rasakan ‘susah’. Ya, memang susah rasanya nak berdakwah di tengah-tengah masyarakat Islam yang rosak, apakah kita rasa lebih susah daripada berdakwah ketika tidak ada seorang pun orang Islam? Memang susah rasanya berdakwah tatkala kesempitan wang, apakah kita rasa lebih susah daripada berdakwah tatkala dipulaukan seluruh masyarakat, diseksa dan dihalau?

Kita bagaimana? Sudahkah kita buntu mencari jalan tatkala masih banyak lorong-lorong yang belum kita terobosi? Adakah kita hanya keletihan kerana tidur berdengkur sepanjang hari? Sudahkah kita mendapat luka begitu hebat kerana menjalankan tugas dakwah? Persoalan-persoalan ini bisa menjelaskan status kita sebagai pencari jalan atau pencari alasan.

Jika kekayaan dijadikan alasan, Nabi Sulaiman memiliki kekayaan yang tiada tolok bandingnya. Jika kesakitan menjadi alasan, Nabi Ayyub teruji dengan kesakitan yang amat hebat dan menyakitkan. Jika kekuasaan menjadi penghalang, Nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang meliputi binatang dan jin. Jika orang tak mahu mendengar, Nabi Nuh berdakwah sehingga hampir seribu tahun. Nabi Ibrahim berdakwah sehingga dilemparkan ke dalam api yang marak. Kita, tidak dapat berdakwah kerana terlalu aman? Apakah di sisi kita punya perkara untuk dijadikan alasan?

Kalau nak buat, carilah 1001 jalan. Kalau tak nak buat, silakan carilah 1001 alasan. Ingat, setiap apa yang kita buat akan dipersoalkan.

No comments:

Post a Comment